Kisah sebenar sebalik filem Sarjan Hassan


SIAPA tidak tahu filem Sarjan Hassan, antara filem popular dibintangi seniman teragung tanah air, Tan sri P. Ramlee.

Dalam filem ditayangkan pada Ogos 1958 itu, Sarjan Hassan lakonan P. Ramlee digambarkan sebagai anak yatim yang berasal dari Jasin, Melaka.

Ketika berusia 10 tahun, Hassan yang kehilangan bapanya diambil sebagai anak angkat oleh Pak Lebai. Bagaimanapun Aziz, anak kepada ayah angkatnya dan rakan-rakannya termasuk Buang sering membuli Hassan.

Susulan Perang Dunia ke-2 Aziz dan Hassan berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu bagi menentang komunis.

Poster filem Sarjan Hassan
Sebaik tamat latihan, Hassan bersama platunnya diarah memburu tentera Jepun, Dia berjaya mengawal laluan dan menyelamatkan saudara angkatnya Aziz, bagaimanapun mereka ditawan musuh. Hassan melepaskan diri dari tawanan.

Sementara seorang lagi kawan sekampung mereka sejak zaman kecil, Buang memilih menjadi Kampetai iaitu tali barut Jepun. Buang menggunakan kedudukannya bagi menyusahkan penduduk kampung.

Hassan yang cedera semasa melarikan diri dari tahanan musuh diselamatkan oleh Kompeni askar Inggeris dari Singapura, setelah mendapat rawatan, di kemudiannya terus memburu askar Jepun.

Hassan tiba di kampungnya, melalui Ah Leng, seorang penjual sayur, Hassan dapat kembali berhubung dengan Salmah, iaitu kekasihnya.

Dia turut diberitahu perihal Buang yang mengganggu penduduk kampung.

Pada babak terakhir filem ini, Jepun menyerah kalah. Sebagai serangan terakhir, Hassan dan platunnya menyerang dan menawan kubu pertahanan Kampetai di Jasin. Hassan kemudian memburu dan bersemuka dengan Buang dan membunuhnya sebelum pembelot itu melarikan diri.

Kisah ini sarat dengan pengajaran, namun benarkah Hassan benar-benar wujud? adakah filem itu benar-benar di adaptasi dari kisah Hassan?


Kisah gelap

Memang sebenarnya Hassan benar-benar wujud, malah wira negara itu pernah dilaporkan ada bertemu dengan P.Ramlee.

Namun kisah sebenar dalam hidup Sarjan Hassan Othman tidak seperti dalam filem yang ditayangkan sempena sambutan setahun sambutan kemerdekaan Tanah Melayu itu.

Allahyarham Hassan Othman
Sarjan Hassan sebenarnya tidak menentang Jepun, sebaliknya menyertai Askar Melayu untuk menentang komunis ketika darurat. P. Ramlee menggunakan kebijaksannya mengolah semula cerita Sarjan Hassan bagi menenangkan dan menyatupadukan rakyat yang ketika itu berada dalam era darurat.

Mengikut fakta sejarah, Hassan Othman dilahirkan pada 15 Februari 1927 di Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. Menyertai Askar Melayu pada 21 Disember 1946.

Dalam satu laporan media, cucu pahlawan negara itu, Mohd Ariffin Abd Karim, 38, dipetik berkata, Allahyarham datuknya itu hanyalah orang kampung biasa yang melakukan kerja kampung.

Tetapi berlaku satu peristiwa tragis seterusnya menjadi dendam yang mendorong Sarjan Hassan menyertai Askar Melayu.

"Datuk secara senyap memusuhi komunis, apabila pihak komunis tahu mengenainya, mereka mencari keluarga arwah dan membunuh isterinya yang sarat mengandung, ibu mentua dan anak saudara seterusnya rumah mereka turut dibakar.

"Arwah datuk begitu marah dan beliau tahu sukar untuk membalas dendam sendirian. Justeru, beliau menyertai Askar Melayu untuk sama-sama berjuang membebaskan tanah air daripada ancaman komunis," katanya dipetik.

Wira negara itu pernah berkahwin dengan gadis sekampung dengannya iaitu Siti Zabedah Ali. Bagaimanapun, isteri pertamanya itulah yang menjadi mangsa bunuh komunis.

Hassan kemudian berkahwin dengan gadis berasal dari Kampung Rasah, Seremban, Aishah Bujang pada 1951, mereka dikurniakan 12 orang cahaya mata, enam lelaki dan enam perempuan serta 24 cucu.


 Kerjaya cemerlang

Selain itu, Sarjan Hassan yang kehilangan ibunya sejak kecil juga diceritakan sebagai seorang yang sangat lemah lembut dan baik hati.


Beliau didakwa mendapat pendidikan pondok di Rantau, N.Sembilan. Berguru dengan ramai para ulama termasuk Mufti N.Sembilan, Sheikh Hj Ahmad, manakala satu versi lagi mendakwa dia mendapat pendidikan sehingga darjah lima Sekolah Melayu.

Sarjan Hassan yang bermula kerjaya sebagai rekrut terus menyertai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu selepas menamatkan latihan di Port Dickson.

Mengakhiri kerjaya sebagai Kapten
Beliau dilantik menjadi Lans Koperal pada tarikh 28 April 1948 sebelum bertukar ke Batalion Keempat rejimen itu pada tarikh 1 Disember 1949 dan dinaikkan pangkat Koperal pada tarikh 24 Oktober 1950

Semasa menjadi ketua seksyen dan platun dalam Batalion Empat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bermula 1950 hingga 1953, Sarjan Hassan dilapor telah membunuh 11 komunis.

Dinaikkan pangkat Sarjan mulai tarikh 1 September 1952, beliau kemudiannya diarah mengawal dan beroperasi di kawasan Triang, Pahang.

Atas kejayaan dan kecemerlangan ditunjukkan, beliau terpilih mengikuti latihan kadet Federation Training Wing di Port Dickson mulai 10 Jun 1957 dan ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu pada 7 Ogos tahun berkenaan.

Beliau kemudian ditugaskan di Briged Kedua Infantri pada 4 Disember 1959 dan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 5 Ogos 1962 dengan menyandang pangkat terakhir sebagai Kapten.

Antara kejayaan terbesar, Allahyarham dikatakan terbabit dalam tindakan menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota komunis di WaterFall Estate, Rawang, Selangor yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara 10 hari sebelum 31 Ogos 1957.

Sepanjang perkhidmatanya, Sarjan Hassan juga dikatakan telah membunuh 54 anggota Bintang Tiga.


Terima banyak anugerah

Tahukah anda, Sarjan Hassan turut mempunyai bakal besar dalam penulisan.

Berdasarkan kisah hidupnya, beliau telah menulis skrip kisah perjuangan anggota tentera pada zaman darurat yang akhirnya dipentaskan.

Drama pentas yang diarahkan oleh Sarjan Hassan mendapat sambutan sehinggakan ia mendapat liputan akhbar, kejayaan itulah yang mendorong P.Ramlee untuk menjadikannya sebuah filem.

Selain itu kecemerlangan itu, Sarjan Hassan dikurnia pelbagai bintang penghargaan, ia antaranya anugerah Military Medal (MM) pada 30 Disember 1953 dari Ratu Elizabeth.

Menerima pelbagai anugerah
Anugerah itu disampaikan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur pada Mac 1954.

Selain MM, Sarjan Hassan juga dianugerahkan General Services Medal dan Mention in Despatches oleh Kerajaan British pada 1950 dan 1952 kerana keberaniannya ketika berhadapan dengan pengganas komunis sewaktu menjalankan operasi.

Di peringkat Persekutuan pula, beliau dianugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Ahli Mangku Negara (AMN).


Pada 30 April 1991 Hassan Othman meninggal akibat sakit jantung di Hospital Besar Seremban (sekarang Hospital Tuanku Jaafar).

Beliau dikebumikan di Makam Haji Said, Seremban, tetapi usaha menjejak makamnya menemui jalan buntu.

Post a comment

0 Comments