39 pendaki terkandas kerana kepala air


SERAMAI
39 pendaki Gunung Sarut di Hutan Lipur Lata Payung dekat Setiu terkandas dalam hutan berkenaan semalam.

Memetik laporan Bernama, kesemua mereka yang terdiri daripada sembilan lelaki dan 30 wanita  terpaksa diselamatkan susulan kejadian kepala air berdekatan  'Blue Pool'.

Difahamkan, kesemua mereka adalah kakitangan Pejabat Pergigian Hulu Terengganu mula mendaki gunung tersebut kira-kira jam 9 pagi tadi.

Seorang peserta, Anisah Awang Hitam, 48, yang dipetik laporan itu berkata paras air sungai yang sebelumnya cetek tiba-tiba meningkat dengan mendadak sebelum beliau melihat kepala air datang dari bahagian hulu sungai.

Mangsa diselamatkan anggota bomba | Pic- Bernama
"Apabila melihat air semakin tinggi saya dan rakan-rakan di bahagian bawah dari ‘Blue Pool’ ini segera turun ke tepi sungai Lata Payung dan menyeberangi sungai tersebut menggunakan jambatan gantung yang telah uzur.

"Sebenarnya jambatan gantung itu telah ditutup tetapi kami terpaksa menggunakan laluan berkenaan untuk menyeberang ke sebelah darat dan menunggu pihak bomba menyelamat rakan-rakan yang masih terkandas," katanya.

Seorang lagi peserta, Nurul Aniza Mohd Din, 32, berkata, sebelum kejadian para peserta dipecahkan kepada dua kumpulan dan berada di kawasan yang berlainan.

"Kejadian kepala air ini disedari mereka yang berada di bahagian bawah 'Blue Pool' manakala kami yang baru sampai di bahagian atas tidak mengetahui keadaan tersebut sehingga melihat gambar yang dimuat naik ke kumpulan WhatsApp," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Zul Azman Jamaluddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.38 petang sebelum 11 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Lima anggota bomba telah mendaki gunung tersebut bagi membantu menurunkan mangsa yang berada di kawasan atas gunung. Manakala peserta yang terperangkap di tebing Sungai Lata Payung dibawa menyeberangi sungai menggunakan tali.


laporan itu juga memberitahu, operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 6.30 petang, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

Post a comment

0 Comments