Anwar ajak kerajaan cari formula tangani harga barang


KERAJAAN
Persekutuan digesa mencari formula penyelesaian berkaitan harga barangan yang masih tinggi dan membebankan rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gesaan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat semalam.

Tambahnya, secara peribadi beliau melihat rakyat khususnya berpendapatan rendah mengharapkan isu harga barang diselesaikan segera walaupun keseluruhannya harga barangan masih dalam keadaan terkawal.

“Saya lihat antara faktor kepada permasalahan ini adalah disebabkan pengeluaran barang atau hasil berasaskan kepada sumber pertanian yang sangat terbatas,” kata Presiden KEADILAN itu.

Menyentuh mengenai soal kemiskinan, Anwar berpendapat bantuan dan subsidi berpanjangan bukanlah langkah jangka panjang untuk memperkasakan golongan berpendapatan rendah.

Usaha bantuan itu jelasnya harus disusuli dengan dasar merekayasa latihan dan kemahiran kepada golongan sasar.

Langkah itu tambah Anwar dapat membebaskan golongan itu daripada kemelut kemiskinan dan merapatkan jurang antara yang kaya dan yang miskin.

Anwar yang juga merupakan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen sebelum ini dilihat memainkan peranan aktif dalam usaha menangani isu kemiskinan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Beliau menganjurkan forum mengenainya bersama ahli-ahli dewan rakyat dan dewan negara serta beberapa pakar eknomoni negara baru-baru ini.

Post a comment

0 Comments