Anwar sokong perangi keganasan, tapi SOSMA perlu pindaan


PENGGUNAAN Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) bagi menangani keganasan boleh digunakan, namun bahagian tertentu dalam SOSMA harus dipinda serta ditambah baik demi kepentingan semua pihak.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat ketegasan itu semasa menjawab soalan wartawan mengenai penahanan beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menurut Anwar, beberapa peruntukan dalam SOSMA yang digubal ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) itu perlu dipinda dan ditambahbaik kerana ia dilihat memberi kuasa berlebihan kepada pihak polis.

"Kami menentang SOSMA sebelum ini, malah sebelum (isu) LTTE tetapi jika kita mahu meneruskan akta ini, ia mesti dibuat dengan beberapa pindaan," katanya selepas merasmikan Konvensyen KEADILAN Pulau Pinang di Bukit Mertajam pada Ahad.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa KEADILAN dan beliau secara peribadi sentiasa menyokong usaha menentang keganasan termasuk LTTE melalui tindakan tegas atau lebih keras.

"Jika ia berkaitan dengan keganasan saya menyokong tindakan polis, ia tidak terhad kepada tindakan terhadap LTTE tetapi semua yang membabitkan keganasan," tegasnya.

Sebagai rekod, Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika adalah pembangkang mengkritik SOSMA, mereka melihat kelopongan dalam akta itu sebagai ‘menindas’ dan ‘sewenang-wenang’ menafikan hak pesalah mendapatkan perbicaraan yang adil.

Ketika diperkenalkan, banyak pihak khuatir akta itu digunakan bagi tujuan politik. Pada era pentadbiran BN beberapa pemimpin ditahan dibawah akta itu yang disifatkan sebagai bermotif politik.

Antara mereka ialah Maria Chin Abdullah yang ditahan 10 hari dibawah akta itu hanya kerana mahu menganjurkan sebuah demostrasi anti kerajaan pada 2016.

Sebaik dibebaskan, Maria mendakwa penahanannya selama 10 hari bermula 18 November 2016 bertujuan untuk menindasnya.

Susulan itu pada Febuari lalu, ketua polis negara, menteri dalam negeri dan kerajaan selaku defendan terpaksa membayar ganti rugi kepada Maria kerana melakukan penahanannya secara salah terhadapnya.

Sementara itu, kenyataan Anwar agar SOSMA dipinda dilihat konsisten dengan manifesto HARAPAN.

HARAPAN ketika kempen pilihan raya lalu berjanji untuk meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya mengambil alih pentadbiran negara.

Selain SOSMA, terdapat enam akta, yang sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, Akta Perhimpunan Aman, dan SOSMA.

Post a comment

0 Comments