Anwar tak anggap PM remehkan manifesto


KENYATAAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sukar menunaikan manifestonya bukan bermaksud beliau meremehkan janji Pakatan Harapan (HARAPAN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir itu berpendapat, apa yang dikatakan perdana menteri itu jujur ketika memberi kenyataan.

“Saya tidak fikir Tun (Dr Mahathir) meremehkan soal manifesto, tapi maksud dia secara ikhlas menyatakan apa yang boleh dilaksanakan dan apa yang perlu ditangguh," kata Anwar.

Anwar mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengakui, HARAPAN sukar menunaikan manifestonya, termasuk janji untuk memansuhkan beberapa undang-undang yang drakonian atau keterlaluan.

Sebagai rekod, Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan Putrajaya pada Mei 2018.

Dalam tempoh kurang dua tahun, semestinya banyak dasar tidak mudah dilaksana, apatah lagi dengan kedudukan kerajaan yang tidak mempunyai mandat dua pertiga di Dewan Rakyat.

Sementara itu tambah Anwar, perkara mengenai manifesto itu masih boleh dibincangkan bagi memastikan kepentingan rakyat terus terjamin

“Saya percaya perkara ini boleh dibangkitkan dan boleh dibincang bersama Dr Mahathir sama ada pada Pemukiman HARAPAN atau pada Mesyuarat Majlis Presiden PH Isnin depan,” katanya lagi.

Pakatan Harapan (HARAPAN) dikritik pembangkang kerana didakwa tidak agresif melaksana janji manifestonya.

Bagaimanapun HARAPAN dilihat konsisten menunaikan beberapa janji dibuatnya terutama buat golongan B40. Ia termasuk skim kesihatan yang telah diperkenal dan skim subsidi petrol tersasar yang dijangka akan diumumkan minggu depan.

Post a comment

0 Comments