Azizulhasni Awang dinobatkan Raja Pecut Asia



JAGUH
berbasikal trek kebanggaan negara, Mohd Azizulhasni Awang membuktikan beliau bukan atlet biasa-biasa.

Ini terbukti apabila Azizulhasni berada dalam kelas tersendiri, selepas meraih ranking pertama dunia bagi acara Keirin. Anak kelahiran Terengganu yang digelar pocketrocketman itu hari ini muncul Raja Pecut Asia.

Beliau meraih pingat emas acara pecut lelaki individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 yang berlangsung di Korea Selatan pada 17 hingga 21 Oktober.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon hari ini, pelumba berusia 31 tahun itu menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto 2-1.

The Pocket Rocketman yang tewas pada pusingan pertama, kembali bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan kepada pusingan penentuan.

Sebaik loceng berbunyi, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang dikawal rapi oleh Wakimoto, melakukan kayuhan sekuat tenaga sekali gus meninggalkan pelumba Jepun di tempat kedua.

Terdahulu, Azizulhasni merekod masa 9.977 saat, iaitu keempat terpantas pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni sebelum itu menyumbang pingat perak buat kem negara dalam acara keirin lelaki individu pada Jumaat.

Post a comment

0 Comments