Azizulhasni tarik diri, skuad M'sia tukar strategi


TRIO pecut berbasikal trek berpasukan lelaki negara menerima tamparan besar apabila jaguh utama, Azizulhasni Awang, menarik diri daripada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan minggu depan gara-gara kecederaan.

Difahamkan, Bekas juara keirin dunia itu terpaksa menarik diri dari acara itu susulan keretakan jari telunjuk kanan kerana tersepit di gear basikalnya ketika sesi latihan baru-baru ini.

"Saya cuba tarik tali keselamatan di kaki saya dan jari saya tersangkut dan tercucuk di mata gear.

"Ia menyebabkan keretakan tulang pada hujung jari dan isinya terkeluar, terpaksa ke hospital untuk menjalani pembedahan kecil. Alhamdulillah, semuanya baik, cuma sekarang ini masih dalam proses pemulihan," katanya dipetik laporan Awani.

Sebagai rekod, Malaysia sedang mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, ketiadaan Azizulhasni dalam acara pecut berpasukan akan menambahkan tekanan skuad negara untuk layak ke acara sukan berprestij itu.

Sementara itu, tempat dikosongkan Azizulhasni bakal digantikan pelumba muda, Faris Haiqal Abdul Kadir yang akan bergandingan bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis.

Susula itu skuad Malaysia dilapor terpaksa menukar sedikit strategi bagi menghadapi acara itu nanti.

"Gear yang digunakan Faris Haiqal dan Azizulhasni memang berbeza. Cara pecutan mereka juga berbeza, jadi kami perlu membiasakan diri dengan menukar gear daripada yang berat kepada yang ringan sedikit," kata Shah Firdaus.

Ketika ini, Malaysia menghuni ranking ke-15 dunia dengan hanya lapan pasukan terbaik akan layak secara automatik ke Tokyo 2020.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizulhasni dilapor akan meneruskan cabarannya dalam acara keirin dan pecut individu di Korea Selatan bagi mengukuhkan pungutan mata kelayakan ke temasya terbesar dunia itu.

Post a comment

0 Comments