Bayi maut , motor rempuh lori


BAYI
lelaki maut apabila motosikal ditunggang ibunya merempuh belakang lori yang diletakkan di bahu jalan.

Dalam kejadian di Kilometer 67, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah semalam, N Eshwaran berusia setahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibunya M Lavania, 22, dan sepupu ibunya, R K Ammukutty, 17, yang membonceng motosikal tersebut cedera susulan kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dalam perjalanan dari Tapah menuju ke Bidor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian dipercayai hilang kawalan dan merempuh belakang lori tangki yang berhenti di bahu jalan raya menuju ke arah Kuala Lumpur.

“Akibat kemalangan itu, bayi yang digendong pembonceng motosikal maut di tempat kejadian, manakala ibunya yang menunggang motosikal cedera di kedua-dua kaki.

“Remaja perempuan yang memegang bayi itu pula mengalami kecederaan di muka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Wan Azharuddin, mangsa yang cedera dirawat Hospital Tapah dan mayat bayi berkenaan juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Post a comment

0 Comments