Bekas CEO SSM dan anak berdepan dua tuduhan baharu


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner dan anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan didakwa lagi dengan dua pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Zahrah, 60, didakwa bersubahat dengan Abdulazeez yang menerima suapan RM200,000 daripada Samhan Adnan pada 18 Mei 2018 secara deposit ke dalam akaunnya di Maybank Islamic Berhad cawangan Menglembu.

Ia sebagai upah kepada Abdulazeez bagi memastikan Zahrah sebagai CEO SSM meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan 'Preference Shareholder' Syarikat Ace Holding Berhad bertarikh 19 April 2018.

Sementara bagi tuduhan kedua,  Zahrah didakwa bersubahat dengan anak lelakinya itu menerima suapan RM50,000 daripada individu sama pada 25 Mei tahun lalu secara deposit ke dalam akaun yang sama dengan tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan tersebut merupakan kesalahan di bawah Subseksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Subseksyen 16 (a)(A) dan Subseksyen 24 (1) akta sama.

Abdulazeez turut dituduh dengan pertuduhan serupa.

Mereka jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau didenda lima kali ganda nilai suapan atau yang mana lebih tinggi. Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta kes dibicarakan.

Sementara itu, Hakim, S Indra Nehru bersetuju dengan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahidah Jalaluddin supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan serentak dengan 37 pertuduhan dengan mengambil kira Seksyen 64 Akta SPRM 2009 memandangkan ia melibatkan saksi sama dan tempoh waktu berlaku.

Post a comment

0 Comments