Bekas polis ditemui mati tepi padang



ORANG awam menjumpai seorang bekas lans koperal polis mati terbaring di dalam sebuah kereta di padang Taman Cannin dekat Ipoh semalam.

Mohd Safize A Azizi, 34, berasal dari Ulu Kinta ditemui tidak sedarkan diri di bahagian penumpang hadapan kereta jenis Perodua Alza dengan enjin kereta dimatikan kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dipetik laporan Sinar berkata, ketika ditemui terdapat kesan darah pada hidung mangsa.

"Tiada kesan luka atau lebam lain ditemui pada tubuh badan mangsa yang hanya berseluar pendek paras lutut ketika ditemui.

"Pemeriksaan dalam kereta kemudiannya menjumpai barang-barang peribadi tersimpan dalam sebuah beg iaitu kad pengenalan, kad kuasa dan wang tunai," katanya.

A Asmadi berkata, semakan dibuat mendapati mangsa berkhidmat kali terakhir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Baru, Selangor kira-kira tiga tahun dulu.

Kali terakhir mangsa bertemu ahli keluarga pada Jumaat lalu di kediaman keluarganya dan semakan pada kenderaan terbabit mendapati ia milik kakak mangsa yang bekerja di Sarawak.

Tambah Asmadi, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis akan menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya.

Post a comment

0 Comments