Belanjawan 2020 lebih perihatin golongan B40


KERAJAAN Pakatan Harapan (HARAPAN) terus mempertingkat usaha menjaga kebajikan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan di negara ini.

Terbaharu, Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM575 juta bagi bantuan sosioekonomi kepada golongan warga emas. Peruntukan itu dijangka dapat memberi manfaat kepada 137,000 orang warga emas yang berada di bawah garis kemiskinan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat siang tadi.

Selain peruntukan hampir RM600 juta itu, kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) untuk menampung perbelanjaan 129 pusat di seluruh negara. Ia dijangka akan memberi manfaat kepada 37,000 warga emas.

“RM80 juta juga diperuntukkan untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 pelbagai institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk pusat jagaan kanak-kanak, OKU dan warga emas,” katanya.

Tidak terhenti sekadar itu, Kerajaan HARAPAN turut memperuntukkan sejumlah RM20 juta  untuk lima Pusat Latihan Berdikari baharu, program latihan bagi Sindrom Down dan taman asuhan kanak-kanak OKU.

“Dalam masa sama, perkhidmatan latihan dan tunjuk ajar yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan latihan kepada golongan OKU akan dikecualikan cukai perkhidmatan,” katanya.

Sebagai satu langkah menangani isu penagihan dadah dan masalah gelandangan, kerajaan turut mengambil langkah positif dengan memperkasa program kebajikan terhadap golongan itu.

Susulan itu tambahnya, RM15 juta diperuntukkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan bagi melaksanakan program rintis bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dadah.

Manakala RM4.5 juta pula diperuntukkan kepada Anjung Singgah mulai tahun depan bagi kebajikan lebih 7,000 gelandangan terutama di ibu kota.

Bagi meringankan beban golongan memerlukan, kerajaan turut akan menyalurkan sejumlah RM25 juta bagi memperluas program Food Bank ke seluruh negara.

program Food Bank adalah inisiatif bagi mengagihkan semula kira-kira 3,000 tan metrik makanan lebihan untuk diderma setiap hari kepada kumpulan sasaran yang memerlukan terutamanya golongan B40.

Berbanding pentadbiran lepas, Belanjawan dikemuka Kerajaan HARAPAN dilihat lebih menyeluruh dengan memfokuskan agenda meringankan beban rakyat terutama kepada golongan B40.

 

Post a comment

0 Comments