Belum bincang permohonan Salleh Keruak - Anwar



BELUM ada apa-apa keputusan dibuat berhubung permohonan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk menyertai parti KEADILAN.

Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Biro Politik KEADILAN akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum sebarang keputusan menerima atau menolak permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dibuat.

“Permohonan belum dipertimbangkan oleh Biro Politik, tetapi sudah ada kenyataan dari saudara Fahmi Fadzil bahawa kita terima permohonan itu daripada beliau," kata Anwar.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil mengesahkan ada menerima permohonan keanggotaan Salleh.

Katanya, berdasarkan rekod, permohonan itu dibuat Salleh secara dalam talian (online).

Sebagai rekod, Salleh tewas di kerusi Parlimen Kota Belud dalam pertandingan empat penjuru. Kerusi itu dimenangi oleh Isnaraissah Munirah Majilis alias Fakharudy dari Parti Warisan Sabah.

Pada Disember lalu, Salleh bersama bekas Speaker Dewan Rakyat selama dua penggal, Pandikar Amin Mulia lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator serta hampir semua jawatankuasa Umno Sabah mengumumkan keluar parti.

Tindakan mereka dilaporkan telah menyebabkan Umno Sabah lumpuh.

Post a comment

0 Comments