Calon PRK Tanjung Piai mungkin anak tempatan


SUDAH
ada beberapa nama berpotensi untuk dipilih sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bulan depan.

Pengerusi HARAPAN Johor, Tan  Sri  Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, selesai mesyuarat hari ini, belum ada mana-mana nama diputuskan sebagai calon.

“Hari ini tidak lagi (bincang senarai calon). Kita sudah ada juga beberapa nama tetapi kita (masih) ada masa.

Kita akan kemukakan kepada pimpinan PH untuk diterima dan diputuskan (kemudian),” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PH Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dekat Muar, hari ini.

Presiden parti BERSATU itu turut sekali lagi mengesahkan calon daripada BERSATU akan bertanding, beliau turut tidak menolak kemungkinan ianya anak tempatan.

“Kita akan putuskan yang mana sesuai, yang popular, yang berhemah, yang berpendidikan, yang mungkin (anak) tempatan," tambahnya.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu ialah Setiausaha Bersatu Datuk Marzuki Yahya, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal serta barisan kepimpinan tertinggi negeri parti komponen.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang turut hadir.

Sementara itu, Muhyiddin turut menyifatkan PRK tersebut akan menjadi sangat mencabar dan tidak akan memandang mudah saingan yang akan diberikan pembangkang.

“Kita tidak pandang mudah. kita akan menghadapinya dengan penuh tabah dan kita akan hadapi realiti.

“Apapun situasinya, kita berharap pengundi yang ada di kawasan Tanjung Piai yang merangkumi lebih 52,000 akan memberikan sokongan yang padu,” tambahnya lagi.

Post a comment

0 Comments