CUEPACS sambut baik belanjawan kerajaan HARAPAN


BELANJAWAN 2020 dibentangkan kerajaan semalam mendapat reaksi positif dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kenaikan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana bakal membantu meringankan kos sara hidup penjawat awam yang berpendapatan rendah.

“Buat masa ini, jumlah elaun COLA yang ditetapkan ialah RM300, RM250 dan RM150 tertakluk kepada lokasi penempatan.

“Walaupun pemberian elaun COLA ini tidak sama, namun kenaikan RM50 ini adalah seragam buat penjawat awam untuk semua lokasi sama ada yang berkhidmat di bandar atau di luar bandar,” katanya dipetik laporan Sinar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa sesi pembentangan Belanjawan pada Jumaat mengumumkan kenaikan kadar elaun COLA sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Azih juga mengalu-alukan tindakan kerajaan memperkenalkan faedah Ex-Gratia Kematian untuk diberikan kepada waris yang bernilai sehingga RM150,000, selain pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG).

“Ini adalah permulaan yang baharu dan kita sangat mengalu-alukannya. Ini kerana ia dapat membantu meringankan beban waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan,” katanya.

Pada masa sama, Azih turut menyambut baik dengan pemberian Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan yang memberi manfaat kepada 14,400 anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

“Tahniah kepada semua anggota bomba. Saya harap ini dapat memberi rasa gembira di atas perjuangan dan pengorbanan yang mereka berikan,” katanya.
 

Post a comment

0 Comments