Dalang penyeludupan bakal dihukum - Muhyiddin


KERAJAAN akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota keselamatan yang didapati terlibat kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu tersebut bukan perkara baharu, ia disedari pihaknya dan tindakan keras bakal diambil.

“Sekarang ini kalau ada maklumat baharu yang terkini yang disediakan oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan gambar-gambar, video-video yang jelas dan boleh dicam oleh polis, maka kita boleh ambil tindakan,” katanya dipetik Bernama.

Sambil berterima kasih kepada SPRM atas pendedahan berkenaan, Muhyiddin berkata penyeludupan merupakan satu daripada cabaran besar yang dihadapi anggota keselamatan terutamanya di pintu masuk negara memandangkan sempadan negara ini amat luas.

Pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai supaya siasatan serta bukti jelas berhubung penyeludupan boleh diperoleh bagi membolehkan tindakan mengikut undang-undang dapat dilaksanakan kepada mereka yang terlibat.

“Kalau ada anggota terbabit, kami tidak boleh kecualikan. Undang-undang tidak mengenal sama ada pegawai atau memang penyeludup. Kalau dia bersubahat sekali pun dan ada bukti, memang kami akan ambil tindakan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, beliau tahu ada kalanya soal logistik atau sebagainya menjadi masalah berbangkit, namun, pihaknya tidak mahu ia menjadi dalih atau sebab penguatkuasaan di sempadan tidak berkesan.

“Yang berlaku ini kadang-kadang ialah sindiket terancang. Yang penting adalah bagaimana kita nak kukuhkan organisasi,” katanya.

SPRM baru-baru ini mendedahkan klip video berdurasi 11 minit berhubung kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar.

Klip video antara 2017 hingga Mei 2019 itu antara lain menunjukkan penyeludup memotong pagar sempadan dan membawa keluar barang bersubsidi, selain anggota keselamatan kelihatan tidak mengambil tindakan walaupun berlaku di depan mata.

Post a comment

0 Comments