Gerombolan paus terdampar di pantai Indonesia


TUJUH belas Paus ditemuikan terdampar di pantai kawasan pendalaman bahagian timur Indonesia semalam.

Agensi berita antarabangsa, AFP dalam laporannya berkata, tujuh dari kesemua paus itu ditemui mati, bagaimanapun hasil usaha penduduk berhampiran Kampung Menia, berjaya menyelamatkan 10 ikan paus terbabit.

Kesemua paus itu dianggar berukuran tiga hingga empat meter panjang.

Ketua agensi pemuliharaan marin tempatan, Ikram Sangaji yang dipetik laporan itu berkata, kejadian seperti itu kerap berlaku.

Pada 2012 lebih 40 ikan paus ditemui terdampar di pantai Kolo Udju di Kampung Menia, Nusa Tenggara Timur.

“Keadaan arus silang di kawasan pantai boleh menimbulkan keadaan bahaya kepada ikan paus, kerana haiwan itu mudah terperangkap antara terumbu karang ketika berlakunya ombak besar,” katanya.

Sementera itu tambah Ikram lagi, terdapat kecederaan dikesan pada bangkai paus berkenaan, jelasnya ia mungkin berlaku susulan operasi menyelamat mereka tidak dikendalikan dengan baik.

“Terdapat beberapa kesan luka pada badan ikan paus itu akibat bergesel dengan batu,” tambahnya lagi.

Difahamkan, enam bangkai ikan paus itu ditanam dalam satu operasi tradisional, manakala seekor lagi dilapah penduduk kampung untuk mendapatkan dagingnya.

Pegawai tempatan juga dilaporkan turut mengambil sampel bangkai ikan paus pandu berkenaan, bagi menyiasat punca kematian dan faktor yang menyebabkan mereka terdampar di kawasan terbabit.

Post a comment

0 Comments