Hafizh Syahrin sah bersama Angel Nieto


PELUMBA
sensasi MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sah kembali ke saingan kelas Moto2 musim depan.

Pelumba itu yang ketika ini bersama pasukan Red Bull KTM Tech3 menyertai pasukan Angel Nieto yang berpengkalan di Sepanyol.

Lebih menarik, beliau akan berlumba bersama Aron Canet yang merupakan pesaing kejuaraan kategori Moto3 musim ini.

Sebagai rekod, Hafizh, 25, adalah pemenang podium Grand Prix dua kali dalam kelas Moto2, kedua-duanya di Misano dan Motegi pada musim 2017. Pada 2018 Hafizh beralih ke kelas utama bersama Yamaha Tech 3 ketika itu.

Sementara itu, Hafizh ketika bercakap kepada media menyifatkan Moto2 bukanlah kategori baharu baginya kerana pernah menghabiskan beberapa tahun dalam perlumbaan itu dan mengakui beliau kini mempunyai jentera, enjin dan tayar yang berbeza dengan lebih kuasa.

"Saya rasa bersama pasukan Angel Nieto kami boleh melakukan tugas yang baik pada musim depan. Saya telah berlumba dengan majoriti pelumba di kelas ini dan saya optimis mampu berada di hadapan.

"Jadi saya akan memberikan yang terbaik untuk menjadi lima pelumba teratas. Saya mempunyai keyakinan terhadap pasukan kerana pernah bekerja dengan beberapa daripada mereka sebelum ini dan saya rasa kami mampu lakukan yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu, bos pasukan Angle Nieto, Jorge Martinez Aspar mengalu-alukan penyertaan Hafizh Syahrin dan menyifatkannya sebagai berita baik setelah menandatangani bersama pelumba berpengalaman itu untuk membawa cabaran baharu buat pasukan dalam kelas Moto2.

Post a comment

0 Comments