Hishammuddin dituduh dalang tubuh kerajaan baharu


SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein didakwa bertanggungjawab menggerakkan kempen membentuk kerajaan baru dengan mengetepikan Amanah dan DAP.

Malaysiakini yang memetik kenyataan bersama Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambarkan bekas menteri era Najib Razak itu mencadangkan idea 'mengkhianati mandat rakyat' itu bersama beberapa pihak lain.

"Hishammuddin dalam penulisan dan wawancaranya memberi isyarat yang cenderung untuk kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

"Ini adalah amalan politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH," kata kenyataan itu seperti dilapor.

Kenyataan tersebut ditandatangani Ketua Setiausaha HARAPAN, Saifuddin Abdullah serta Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Terdahulu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap di Dewan Rakyat membuat kenyataan mengenai usaha pihak tertentu menubuhkan kerajaan baharu tanpa Amanah dan DAP. Usaha itu tambahnya bertujuan menyelamatkan individu tertentu yang kini berdepan kes-kes mahkamah.

Anwar turut menyentuh pembabitan Hishamuddin yang juga merupakan sepupu bekas perdana menteri, Najib Razak.

"Ini masalahnya nak ikut sangat Sembrong... semua karut.

"Semua ini kadang-kadang nak survive diri, nak tutup siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Kita tak mahu itu.

"Politik ini bukan kerana ugutan, (tapi) mesti ada prinsip, sama ada didakwa di mahkamah atau diugut masuk penjara, prinsip jangan digadai. Beritahu Sembrong," katanya dipetik.

Sementara itu, kenyataan bersama itu turut memberi ingatan bahawa cubaan 'nakal' mengembalikan politik perkauman selepas detik 9 Mei 2018 adalah langkah ke belakang yang akan membuka peluang kepada para kleptokrat dan konco-konco mereka untuk kembali berkuasa.

Tegas mereka mandat diberikan rakyat tidak wajar dicagar demi kepentingan politik setelah rakyat menolak BN untuk menyelamatkan negara dari kancah kleptokrasi global yang mengaibkan.

Post a comment

0 Comments