Isa Samad dihadapkan ke Mahkamah pagi ini


KES rasuah dan pecah amanah bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad berjumlah lebih RM3 juta akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Mengikut senarai kes di mahkamah, perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Difahamkan, pihak pendakwaan telah menyediakan lima saksi untuk  memberi keterangan esok dalam prosiding hari ini.

Mohd Isa, 70, didakwa  melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dia turut dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Kes dibicarakan  mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Post a comment

0 Comments