Kamal Raja Lawak meninggal dunia


ANGGOTA
kumpulan lawak Chilok, Kamal Sumbu, meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Berita kematian Kamal atau nama sebenarnya Mohd Kamal Shah Saharuddin, 30, disahkan rakannya yang juga artis, Atoi Tohet sebentar tadi.

“Saya meminta semua peminat mendoakan dan sedekahkan al-Fatihah kepada arwah,” katanya seperti laporan Harian Metro.

Terdahulu, Kamal dilapor mengalami pendarahan dalam kepala, patah bahu dan kaki selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lalu.

Beliau yang menjalankan perniagaan makanan patin tempoyak terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar pesanan untuk pelanggan di Putrajaya.

Kenderaan dipandu Kamal difahamkan terlibat pelanggaran dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang menyebabkan Kamal tercampak keluar dari kereta.

Sebagai rekod, Kamal pernah menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) pada 2016 dan 2018 selain merangkul naib juara Bintang Mencari Bintang pada 2014. Arwah merupakan bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam.

Post a comment

0 Comments