KEADILAN beri amaran wujud usaha khianat mandat rakyat


RAKYAT digesa sentiasa berwaspada dengan perancangan tersembunyi pihak yang sedang menyusun agenda politik demi keuntungan peribadi pihak tertentu.

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, dalam satu kenyataan mendakwa ada usaha licik sedang dirancang bagi mengkhianati mandat diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Usaha-usaha yang mengkhianati amanah dan agenda rakyat ini jelas merupakan keterdesakan akibat daripada kegelisahan terhadap siasatan dan kemungkinan pendakwaan yang akan dijalankan ke atas mereka," kata mereka dalam kenyataan.

Terdahulu terdapat usaha menyebar persepsi bahawa kerajaan HARAPAN gagal mentadbir negara dan menjamin hak orang Melayu.

Isu-isu perkauman juga dilihat semakin hebat dijadikan modal bagi mensasarkan parti politik tertentu dalam HARAPAN bagi menarik sokongan politik orang Melayu kepada parti-parti tertentu.

"KEADILAN dan HARAPAN akan sentiasa berwaspada dengan anasir-anasir dari rejim usang ini dan tidak akan membenarkan sesiapa sahaja baik dari luar mahupun dari dalam Pakatan Harapan sendiri untuk merampas kemenangan rakyat pada PRU14 yang lalu serta melenyapkan agenda reformasi yang telah diperjuangkan selama ini," jelas kenyataan itu lagi.

Kebelakangan ini juga, beberapa pemimpin pembangkang dilihat cuba menghangatkan isu peralihan kuasa perdana menteri dengan menafikan perjanjian bersama yang telah disepakati HARAPAN sebelum PRU lalu.

Susulan itu juga KEADILAN dan HARAPAN melalui kenyataan sama melafazkan komitmen penuh  dan berpegang teguh dengan janji transisi kepimpinan serta agenda-agenda reformasi.

"Kami beri amaran dan berikrar bahawa akan bangkit melawan dan menentang habis-habisan sekiranya didapati pihak-pihak ini bertekad untuk membelakangi prinsip demokrasi dan meneruskan agenda jahat mereka yang jelas merupakan satu pengkhianatan kepada seluruh rakyat Malaysia," tambah kenyataan itu.

Terdahulu, HARAPAN mendedahkan ada usaha meruntuhkan Kerajaan HARAPAN dengan idea penubuhan kerajaan baharu tanpa AMANAH dan DAP. usaha itu didakwa didalangi naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.

Penubuhan kerajaan baharu itu juga dilapor sebagai sebagaian usaha menghalang Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun ia dinafikan bekas menteri pertahanan itu.

Sumber mendakwa, Hishammuddin bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu dalam HARAPAN bagi mencapai tujuan itu.

Malaysiakini dalam laporanya berkata tiga nama turut dikaitkan iaitu Anggota Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof dari Bersatu serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Azmin yang merupakan timbalan kepada Anwar disebut-sebut ingin merebut jawatan itu dari Anwar.

Post a comment

0 Comments