Kerajaan HARAPAN N9 salur bantuan ke DUN Rantau


KERAJAAN Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan tidak bersifat pilih kasih dalam membantu rakyat memerlukan di negeri itu.

Ini terbukti apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembinaan semula kuarters Jabatan Kerja Raya yang rosak akibat ribut di Rantau walaupun terletak dalam kawasan pemangku Presiden Umno Mohammad Hasan.

"Kita telah mengenal pasti rumah terlibat dan kerja-kerja baik pulih akan bermula pada hari ini (Ahad)," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Rumah Amal "Tampal Rumah" Insaf Malaysia di Nilai, semalam.

Dewan SMK Rantau yang rosak
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3 petang semalam, seramai 13 orang daripada empat keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan kediaman mereka rosak akibat ribut.

Selain rumah, SMK Rantau juga yang akan digunakan sebagai pusat peperiksaan SPM turut rosak.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerosakan di dewan berkenaan sedang dinilai tahap keselamatan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS).

Jelasnya ia bagi menjamin keselamatan pelajar dan seluruh warga sekolah terbabit

"Mereka (Jabatan Pendidikan Negeri) akan membuat keputusan sama ada memindahkan dewan kepada bilik darjah atau kelas yang sesuai," tambahnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata JPNNS dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memutuskan kaedah terbaik dalam memastikan perjalanan peperiksaan dapat diteruskan.

Post a comment

0 Comments