Kes Isa Samad: Merdeka Palace dibeli tanpa kelulusan


PEMBELIAN Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) tidak mendapat sebarang kelulusan daripada agensi itu terlebih dulu.

Demikian menurut bekas Pengarah Besar Felda, Hanapi Suhada yang juga merupakan saksi kelima perbicaraan rasuah dan pecah amanah bekas pengerusi dan pengarah FIC, Isa Samad.

“Tiada sebarang kelulusan diberikan oleh Lembaga Pengarah Felda berhubung cadangan pembelian MPHS sebanyak RM160 juta oleh FIC. Tiada kertas lembaga mengenainya telah dibentangkan untuk kelulusan Lembaga Felda.

“[...] Kebiasaannya, CEO FIC akan merujuk kepada pengerusi Lembaga Pengarah FIC untuk mendapatkan arahan terlebih dahulu berkaitan keputusan anggota lembaga pengarah yang dibuat, yang perlu dibentangkan untuk kelulusan lembaga Felda.

“Saya tidak tahu kenapa kelulusan pembelian MPHS tidak dibawa ke peringkat Lembaga Pengarah Felda,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Isa - yang juga bekas pengerusi Felda dituduh melakukan pecah amanah dengan memainkan peranan aktif dalam pembelian MPHS pada harga RM160 juta tanpa kelulusan ahli Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Felda pada 2013 yang menyatakan mereka memberi mandat kepada ahli Lembaga Pengarah FIC membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai bawah RM100 juta.

Isa turut berhadapan sembilan lagi tuduhan menerima suapan RM3,090,000 daripada Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, yang memiliki MPHS, sebagai upah kerana membantu meluluskan pembelian aset tersebut.

RM82.5 juta hilang


Terdahulu, saksi keempat, pengurus kanan kewangan FIC, Azlan Mohamed Ismail mendedahkan Lembaga Pengarah mengarahkan penilaian semula atas MPHS pada 2017 berdasarkan laporan bahawa pembelian hotel itu melebihi nilai sebenar.

Hasil penilaian semula oleh syarikat CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd (CH Williams), nilai semasa MPHS dianggarkan bernilai RM80 juta, namun diturunkan kepada RM77.5 juta berdasarkan satu tender exercise oleh sebuah syarikat

Oleh itu katanya, dapat disimpulkan bahawa pembelian MPHS ini telah menyumbang kepada unrealized losses berjumlah RM82.5 juta kepada FIC berdasarkan perbezaan antara harga pembelian RM160 juta dan harga semasa RM77.5 juta.
 

Post a comment

0 Comments