Lokman Adam mungkin diheret ke mahkamah



ANGGOTA
Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mungkin bakal diheret ke prosiding menghina mahkamah kerana tindak tanduknya.

Baru-baru ini, pihak pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan kes penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mengeluarkan satu surat tunjuk sebab terhadap Lokman kerana didakwa membuat ugutan terhadap saksi kes itu, Amhari Efendi Nazaruddin.

Difahamkan surat tersebut dihantar pada Isnin dan Lokman mempunyai masa tujuh hari untuk menjawab.

“Surat itu dikeluarkan di bawah Perintah 52 Peraturan 2B Peraturan Mahkamah Tinggi. Kami akan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman sekiranya tidak berpuas hati dengan jawapan beliau,” kata sumber seperti yang dilapor FMT.

Timbalan pendakwa raya Mohamad Mustafa Kunyalam, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pendakwaan, mengesahkan beliau menandatangani surat tunjuk sebab itu.

Terdahulu, Lokman didakwa membuat laporan polis terhadap Amhari dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dan mendakwa bekas Pegawai Khas Najib Razak itu menerima wang daripada ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho.

Tindakan itu dilihat seolah-olah mahu menakut-nakutkan Amhari.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri era Barisan Nasional (BN) berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berkaitan dana 1MDB bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM2.28 bilion pada Feb 2011 dan Dis 2014.

Post a comment

0 Comments