Mahkamah tentukan nasib Ku Nan hari ini


NASIB
Tengku Adnan Tengku Mansor, sama ada akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan bakal diketahui hari ini.

Sekiranya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berpendapat wujud prima facie terhadap Tengku Adnan maka beliau akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya bekas Menteri ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu akan dilepas dan dibebaskan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB tiga tahun lepas

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Seramai 23 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang mengambil masa 12 hari bermula 2 Julai lalu

Tengku Adnan pada 23 Januari lalu mengaku tidak bersalah. Dia juga menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon, 71.

17 September lalu, Eng Boon mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta.

Eng Boon didenda RM1.5 juta oleh Mahkamah.

Post a comment

0 Comments