Monsun: K'jaan jangka 1.6 juta penduduk bakal terjejas


AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjangkakan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu dan Utara Semenanjung berisiko berdepan situasi banjir bermula bulan hadapan.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Nadmam jangkaan itu dibuat berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara bermula hujung bulan ini hingga Mac tahun hadapan.

Sementara situasi banjir dijangka hampir sama dengan keadaan yang berlaku semasa tahun 2016 dan 2017 lalu.

Jangkaan tersebut dikeluarkan selesai Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam.

Susulan jangkaan itu, timbalan perdana menteri telah mengarahkan agensi di semua peringkat daerah, negeri dan persekutuan sentiasa berada pada tahap optimum. ia termasuk perkara melibatkan sumber manusia, aset, pusat pemindahan sementara, depoh, pangkalan hadapan dan bekalan sokongan.

Mesyuarat itu turut memutuskan supaya cuti pegawai dan anggota yang terlibat dalam pengurusan bencana dibekukan mulai November 2019 hingga Februari 2020 melibatkan pegawai agensi pengurusan bencana, pegawai pejabat daerah dan negeri, anggota polis, tentera, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.


Telah siap sedia

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memperuntukkan RM4 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi perbelanjaan operasi bencana dengan RM100,000 akan diagihkan kepada setiap agensi terbabit.

Seramai 80,672 pegawai dan anggota daripada semua agensi, 6,490 aset serta jentera diletak dalam keadaan siap siaga.

28,552 buah khemah kubikel dan 5,482 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir sudah diletak dalam keadaan bersedia untuk menampung sehingga 1,626,368 orang mangsa.

Kerajaan juga bakal menggerakkan 6,044 pegawai, 165 kaunselor, 942 Pasukan Sokongan Psikologi (PST) dan 11,559 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan  Kementerian Kesihatan bagi membantu mangsa terbabit.

Tujuh Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 162 stor bencana negeri, daerah, mini depot kontena dan 528 pangkalan hadapan turut telah bersedia untuk menyampaikan perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Nadma turut menjangkakan bahagian selatan Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor bakal mengalami banjir pada Disember. Fenomena itu dijangka berterusan hingga Febuari tahun hadapan dengan beberapa kawasan di barat negeri Sarawak dijangka terlibat.

Post a comment

0 Comments