Najib arah Felda beli hotel demi politik - Saksi



BEKAS perdana menteri, Najib Razak difahamkan telah mengarahkan sebuah agensi kerajaan membeli hartanah di Sarawak bagi tujuan aktiviti politik walaupun pembelian itu disifatkan tidak berdaya maju.

Pendedahan itu dibuat bekas ketua Pegawai eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti dilapor Malaysiakini.

Menurut laporan itu, Mohd Isa Samad yang merupakan Pengerusi Felda ketika itu mengarahkan keputusan FIC menolak cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dikaji semula.

Isa memberi alasan bahawa alasan semakan itu datang daripada Najib Razak.

"Kira-kira dua minggu selepas surat daripada FIC kepada (pemilik hotel) Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd bertarikh 28 Feb 2014, saya dapat panggilan daripada Isa dan dia arahkan saya kaji semula cadangan pengambilalihan hotel itu.

"Dia beritahu saya perdana menteri minta untuk kaji semula kertas cadangan pengambilalihan hotel bagi membantu aktiviti politik di Sarawak," katanya seperti dilapor.

Zaid merupakan saksi pendakwaan ke-15. Isa Samad sedang dihadapkan ke Mahkamah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta.

Semalam, saksi ke-13 pendakwaan Wong Siew Yeen berkata lembaga pengarah FIC sebulat suara setuju dengan pembelian hotel itu selepas cadangan mengenainya dibentang semula selang beberapa hari selepas lembaga pengarah memutuskan sebaliknya.

Dalam mesyuarat itu, katanya, Isa sekali lagi berkata Najib meminta ahli lembaga pengarah mengkaji semula pengambilalihan hotel itu.

Zaid yang juga bekas pengarah FIC berkata lagi, pada 18 April 2014 dia menerima tawaran baru daripada Gegasan Abadi melalui sepucuk surat.

"Surat itu antara lain menyebut tawaran untuk FIC membeli hotel itu pada harga RM165 juta," katanya.

Katanya lagi, surat itu juga memaklumkan Gegasan Abadi dalam usaha membayar balik sejumlah RM40 juta kepada syarikat usahasama hotel itu, Jang Pte Ltd di SIngapura, selain penilaian pada 1999 yang menyebut hotel itu bernilai RM190 juta.

Namun pada 22 April 2014, katanya lagi, FIC menerima sepucuk surat lagi daripada Gegasan Abadi yang menurunkan harga hotel itu daripada RM165 juta kepada RM160 juta.

Pada 8 Oktober lalu, seorang lagi saksi Azlan Mohamed Ismail dalam keterangannya berkata, penilaian semula hotel itu pada 2017 menunjukkan pembelian dibuat melebihi nilai sebenar.

Menurut pengurus kanan kewangan FIC itu, penilaian semula oleh syarikat CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd menganggarkan nilai semasa Merdeka Palace Hotel & Suites pada kadar RM80 juta.
 

Post a comment

0 Comments