Pantai timur dan tenggara M'sia bakal alami monsun



JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran tiga negeri pantai timur dan Johor bakal mengalami sehingga enam episod hujan lebat bermula November hingga Januari tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, fenomena musim Monsun Timur Laut ini bakal menyebabkan peningkatan jumlah hujan sehingga 40 peratus di negeri-negeri terbabit.

“Monsun Timur Laut berlaku antara November hingga Mac. Biasanya, hujan akan bermula di Kelantan dan Terengganu pada November hingga Disember. Lazimnya, secara purata ketika monsun kedua negeri ini menerima hujan antara 300 hingga 650 milimeter (mm) sebulan berbanding bulan biasa hanya 200 hingga 300mm.

Jailan Simon nasihatkan penduduk peka
“Bagi Pahang dan Johor pula, kita jangka hujan lebat akan berlaku pada Disember hingga Januari yang mana biasanya pada musim monsun, kedua negeri ini biasanya akan menerima hujan antara 200 hingga 600mm berbanding bulan biasa hanya 150 hingga 300mm,” katanya hari ini.

Susulan itu tegasnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan amaran yang dikeluarkan pihaknya dan pihak berkuasa yang lain.

“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sering dinaiki air, saya nasihatkan supaya mereka bersiap sedia lebih awal, pastikan segala dokumen disimpan di tempat yang selamat dan mudah diambil sekiranya berlaku banjir,” tambahnya.

Sementara itu, Jaila turut menjangkakan hujan lebat dijangka berlaku di Sarawak pada Januari hingga Februari depan dengan pertambahan hujan hampir 50 peratus.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini pihaknya tidak menjangkakan hujan luar biasa yang boleh menyebabkan banjir besar berlaku.

Post a comment

0 Comments