Pasangan ditahan, disyaki sebabkan kematian


SEPASANG
suami isteri warga tempatan ditahan pihak berkuasa polis kerana disyaki mendera hingga mati anak asuhan mereka pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata berdasarkan siasatan, pasangan berusia 36 dan 30 tahun itu turut dipercayai mendera seorang lagi anak asuhan mereka serta dua orang anak mereka.

"Ahad lepas kami menerima panggilan melaporkan bahawa terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di sebuah rumah di Klang.
 
"Bedah siasat yang dijalankan pada keesokannya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mendapati bahawa punca kematian adalah kerana kecederaan intra abdomen akibat hentakan objek tumpul. Terdapat kira-kira 41 kesan kecederaan baru dan lama di tubuh mangsa," katanya dalam kenyataan.

Susulan itu tambahnya, polis menahan pasangan itu kira-kira 11 pagi semalam.

Pemeriksaan fizikal terhadap tiga kanak-kanak yang bersama pasangan itu turut mendapati terdapat kesan kecederaan baru dan lama pada tubuh mereka.

"Pemeriksaan di badan kanak-kanak lelaki berusia lapan dan lima tahun dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang merupakan kembar kepada si mati itu terdapat bekas kecederaan baru dan lama disyaki akibat didera oleh kedua-dua suspek.

"Dua kanak-kanak lelaki ini merupakan daripada perkahwinan terdahulu suspek wanita berkenaan dan ketiga-tiga mereka kini ditempatkan di HTAR bagi pemeriksaan lanjut," katanya.

Tambah Shamsul Amar, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Post a comment

0 Comments