Pelakon veteran Pak Limra meninggal dunia


PELAKON
veteran  Pak Limra atau Ramli Mohamed  dilapor telah meninggal dunia pada usia 81 tahun akibat sakit tua di Hospital Kajang, Selangor.


Penolong Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rena Tan yang dipetik laporan Harian Metro berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.20 malam, semalam. 

Ahad lalu, Pak Limra sempat menghadiri Program All Star Buka Panggung dengan diberi penghargaan daripada sebuah stesen televisyen. 

"Arwah sebelum ini menyatakan kerinduan terhadap rakan-rakan dan sebaik dibawa ke program itu, dia cukup gembira," katanya.

Pada 2017, Pak Limra dimasukkan ke Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih akibat patah tulang pinggul selepas terjatuh. 

"Baru-baru ini, arwah tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

"Dia juga perlu memakai lampin pakai buang, makan bersuap, kurang pendengaran dan percakapan tidak jelas," katanya.

Rena berkata, Allahyarham pernah hidup pada zaman P Ramlee dengan melakukan kerja di belakang tabir - selain pernah memegang watak sampingan dalam filem arahan tokoh seniman itu,

Difahamkan, Allahyarham tidak mempunyai anak kandung dan meninggalkan seorang balu yang kini sakit. 

Pak Limra pernah berkhidmat sebagai kerani di pejabat Seniman dengan menguruskan pendaftaran dan kad keahlian.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang selepas Zohor siang tadi

Post a comment

0 Comments