Pemimpin PAS tak semak fakta tuduh K'jaan tak bagi royalti


AHLI
Parlimen Pembangkang digesa membuat kenyataan berdasarkan fakta sebelum menuduh Kerajaan Persekutuan tidak membayar royalti minyak kepada negeri yang ditadbir pembangkang.

Gesaan itu dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng susulan kenyataan seorang Ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat yang mendakwa negeri itu tidak mendapat royalti seperti dijanjikan Pakatan Harapan (HARAPAN)

Tegas Guan Eng, beliau sendiri telah menandatangai pembayaran tersebut pada bulan lepas.

"Saya telah tandatangani pembayaran atas arahan perdana menteri, dan saya telah semak dengan pejabat saya dan mereka kata pembayaran telah dibuat.

"Sebenarnya pembayaran (dijadual) dibuat pada Januari (2020) tetapi talah diawalkan ke bulan lepas.

"Jadi saya harap jangan beri kenyataan yang tidak benar dan tidak ikut fakta, harap mereka boleh semak dengan kerajaan Kelantan supaya boleh dapat kepastian," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) mencelah ucapan ketua pembangkang Ismail Sabri yaakob ketika perbahasan Belanjawan 2020.

Ahmad Marzuk mendakwa Kelantan yang ditadbir PAS tidak mendapat royalti minyak walaupun sebanyak lima peratus, beliau kemudian cuba menyamakan Guan Eng dengan kerajaan terdahulu yang dianggap 'merompak' bayaran balik GST ketika ia dimasukkan ke dalam akaun hasil disatukan yang digunakan, bukan akaun amanah yang dikhaskan untuk bayaran balik.

"Kalau Petronas bayar setiap tahun kepada kerajaan pusat (tetapi) tak masuk ke akaun negeri, bolehkah kita kata wang royalti Kelantan ini dirompak oleh kerajaan Pakatan Harapan?

"Kalau ditanya siapa kepala perompak, adakah kita kata menteri kewangan ketua perompak?" soalnya.

Sementara itu, Guan Eng menjelaskan, sikap kerajaan HARAPAN adalah berbeza dengan Barisan Nasional (BN).

Ketika BN yang sebelum ini tidak menyalurkan royalti kepada negeri itu menjadi rakan karib PAS. HARAPAN jelasnya bersikap tidak pilih kasih dalam menyalurkan bantuan termasuk kepada kerajaan negeri yang ditadbir parti yang banyak melemparkan pelbagai tuduhan tidak benar kepada HARAPAN.
 

Post a comment

0 Comments