Rakyat Tanjung Piai terus sokong HARAPAN


SEORANG calon berpengalaman dan mempunyai ketokohan dijangka akan dipertaruhkan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan.

Pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sangat mengambil kira calon yang boleh menggalas amanah dan menjalankan tugas dengan bertanggungjawab bagi mewakili rakyat di kawasan itu.

“Kadang-kadang walaupun baik orang muda tetapi orang nak cari yang berpengalaman, ketokohan, ada latar belakang yang baik, menunjukkan tokoh yang ada pengetahuan.

“Saya sudah melalui proses pilihanraya berkali-kali, kita ambil kira mereka ini (calon bertanding) adalah orang yang boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita dalam satu program di Pontian.


Muhyiddin juga berkata, buat masa ini senarai pendek nama calon yang bakal bertanding PRK itu hampir dimuktamadkan dan pengumumannya bakal dijangka akan dibuat tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Pengarah Pilihan Raya HARAPAN itu berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja yang sedang dilakukan jentera HARAPAN dalam menghadapi PRK tersebut.

Malah berdasarkan tinjauan beliau yakin rakyat kawasan itu terus akan memberi sokongan kepada HARAPAN.

“Pagi tadi ada sesi bersama Ketua-Ketua PDM (Pusat Daerah Mengundi). Nampak mereka sudah cukup bersedia dan yakin kita mampu pertahankan kerusi ini.

“Dalam lawatan petang semalam dan pagi ini, saya rasa sentimen yang boleh dikatakan agak baik, keyakinan mereka kepada HARAPAN ada,” katanya lagi.

Post a comment

0 Comments