Rombongan PKNS kemalangan di Turki, seorang maut


SEORANG rakyat Malaysia dilapor maut, manakala 10 lagi cedera setelah bas yang mereka naiki terlibat dengan kemalangan di Afyonkarahisar, Turki, petang semalam.

Menurut kenyataan, kemalangan berlaku apabila bas dinaiki rombongan kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkenaan hilang kawalan lalu terbalik akibat keadaan jalan yang licin.

“Kemalangan berlaku di Afyonkarahisar menyebab seorang maut manakala 10 orang lagi cedera termasuk empat daripada mereka dikatakan mengalami kecederaan serius.

"Mangsa kemalangan sedang dirawat di Hospital Afyonkarahisar yang terletak kira-kira 300 km daripada Ankara. Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) Ankara sedang mengumpul maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan berhubung perkara ini,” kata Wisma Putra.

Pegawai daripada Malawakil Ankara dilaporkan telah berhubung dengan Gabenor Afyonkarahisar dan akan melakukan lawatan konsular secepat mungkin untuk memberikan bantuan sewajarnya.

Sementara itu Bahagian Komunikasi Korporat PKNS dalam kenyataan malam tadi mengesahkan bas yang terlibat dengan kemalangan itu membawa rombongan 35 kakitangannya yang sedang melancong ke negara berkenaan.

Perbadanan itu  menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan daripada Kedutaan Malaysia di Turki.

“PKNS masih menantikan kenyataan rasmi daripada pihak Kedutaan Malaysia di Turki yang sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan dan hospital di Afyonkarahisar.

Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Post a comment

0 Comments