Hukuman penjara Adam Rosly kekal


HUKUMAN
penjara enam bulan dan denda RM30,000 terhadap Adam Rosly Abdullah, atas kesalahan memberi pernyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikekalkan.

Hakim Mahkamah Tinggi, dalam prosidingnya pagi tadi menolak rayuan Adam, 32, yang juga merupakan seorang bekas ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Ampang

"Selepas menimbang penghujahan semua pihak, saya berpandangan tiada keperluan untuk campur tangan (intervene) penghakiman hakim perbicaraan (di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur).

"Saya menolak rayuan dan mengekalkan sabitan dan hukuman," katanya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Adam bagi enam pertuduhan memalsukan pernyataan dan dokumen kepada SPRM pada 26 April 2018.

Dia dijatuhkan hukuman penjara enam bulan - yang berjalan serentak bermula hari hukuman dijatuhkan - dan denda RM5,000 untuk setiap pertuduhan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah sebelum ini menyiasat Adam atas dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya termasuk kereta mewah dan sebuah banglo berharga RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang, yang dikatakan dibayar secara tunai.

Ada dakwaan sebelum ini bahawa Adam merupakan seorang pegawai khas kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin, namun menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu menafikannya.
 

Post a comment

0 Comments