Amanah bantu calon Warisan rampas Parlimen Kimanis


KERJASAMA dan kerja keras semua jentera parti gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka dapat membantu memastikan kerusi bagi Parlimen Kimanis dirampas calon Warisan Sabah (Warisan).

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, bagi memantapkan lagi persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis 18 Janurai depan, jentera parti itu tegasnya akan turun padang bagi membantu kempen yang akan dijalankan.

Tambah Mohamad, mereka akan digerakkan mulai hari penamaan calon dan akan bersama-sama jentera parti komponen HARAPAN yang lain.

“Saya sendiri akan turun padang pada hari penamaan calon sebagai tanda sokongan terhadap calon Warisan yang bertanding pada PRK itu.

“…dan saya juga akan menggerakkan jentera Amanah di kawasan saya iaitu Parlimen Kota Raja untuk turut terlibat sepanjang kempen pilihan raya,” katanya.

Pada 16 Dis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kimanis diadakan pada 18 Jan, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan. Pengundian awal dilaksanakan pada 14 Jan.

PRK Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

Sebelum ini, Wanita HARAPAN mengumumkan untuk mengempur kawasan parlimen itu.

Ketua Penerangannya, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, jentera Wanita HARAPAN sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berkempen

Kira-kira 6,000 ahli Wanita HARAPAN dari seluruh negara akan berkampung di Kimanis untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon dipilih mewakili Parti Warisan Sabah (warisan).

Post a comment

0 Comments