Anwar gesa semak keputusan tamatkan BIPK


DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu kabinet membincangkan semula keputusan untuk menamatkan pemberian bayaran insentif perkhidmatan kritikal kepada penjawat awam profesional.

Menurut Presiden KEADILAN itu, keputusan yang melibatkan kakitangan awam yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan perlu memandangkan keresahan dan kebimbangan yang disuarakan rakyat berhubung perkara itu.

"Saya berpendapat perkara ini perlu dibincang semula oleh kerajaan dalam sidang kabinet pertama 2020.

"Para menteri juga disyorkan menggunakan ruang kabinet bagi menyatakan pandangan mereka," kata Anwar dalam kenyataan, hari ini.

Penamatan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling bertarikh 20 Disember lalu.
 

BIPK merupakan satu daripada sembilan elaun yang dihentikan kerajaan, termasuk elaun hiburan kepada setiausaha sulit, dan insentif kecekapan berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun, mereka yang sudah menerima elaun akan terus mendapat bayaran tersebut, termasuk pekerja kontrak yang kontraknya telah diperbaharui.

Difahamkan, BIPK diperkenalkan kerajaan pada 1992. Bagaimanapun semakan 2019 mendapati kerja tersebut tidak lagi menepati kriteria yang ditetapkan,  maka jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memutuskan tiada lagi pemberian baru untuk lantikan bermula awal tahun depan.

Post a comment

0 Comments