Bekas pemain bass Alleycats meninggal dunia


BEKAS pemain bass kumpulan Alleycats, Frank Ong, 64,  dilapor meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur jam 4.30 pagi semalam.

Berita sedih itu disahkan penyanyi kumpulan itu, Datuk David Arumugam. Katanya dia dimaklumkan mengenai berita sedih itu jam 8 pagi menerusi WhatsApp daripada seorang rakan.

Menurut David, dia ada menghubungi kediaman arwah bagi mendapatkan maklumat lanjut namun panggilan tidak dijawab.

"Saya sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahinya. Sepanjang mengenalinya, dia seorang sahabat yang baik.

Allahyarham dikebumikan di Gombak
'Dia seorang sahabat yang baik dan banyak membantu ketika kami mula membina nama," katanya seperti dilapor BH.

Frank atau nama Islamnya, Abdul Rashid Ong Abdullah menyertai Alleycats pada 1976 hingga 1986 dan terbabit dengan rakaman enam album Alleycats termasuk yang paling popular seperti Alleycats 4 dan Kuching.

Difahamkan, selepas meninggalkan kumpulan itu, Allahyarham menjadi tenaga pengajar muzik di beberapa kolej sekitar Kuala Lumpur dan Subang Jaya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Raudhatul Sakinah, Gombak, beliau meninggalkan seorang isteri, Nor Askiah Abdul Wahab, 66, serta tiga anak.

Post a comment

0 Comments