Bersatu yakin Warisan akan tawan Kimanis


CALON Parti Warisan Sabah (Warisan) mempunyai kelebihan untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melihat tiada masalah untuk calon mewakili kerajaan itu menawan kerusi Parlimen itu.

Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) pula jelasnya sudah tentu akan memberikan sokongan padu bagi memenangkan calon Warisan.

"Sebagai Kerajaan Negeri saya ingat calon Warisan mempunyai kelebihan dan kita parti Pakatan Harapan daripada Bersatu akan membantu sedaya upaya untuk memenangi PRK Kimanis," katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Warisan perlu disokong dan didokong demi kestabilan politik di negeri Sabah.

Menurutnya, dengan keadaan politik negeri dan negara yang stabil, maka Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan program-program pembangunan untuk faedah rakyat.

Mengulas lanjut mengenai persediaan Bersatu Sabah membantu Warisan menghadapi PRK terbabit, Hajiji berkata, pihaknya sudah membuat langkah awal dengan mengambil pendekatan program mendekati rakyat di Kimanis.

"Bersatu di Kimanis telah mengaktifkan jentera pilihanraya semua peringkat sama ada sayap, Armada dan Srikandi.

"Kita akan bantu calon akan diletakkan oleh parti Warisan dan pastikan mereka menang dalam pilihan raya kecil ini," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Januari depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 14 Januari.

PRK Parlimen Kimanis perlu diadakan berikutan Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan pilihan raya kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dimenangi bekas Menteri Luar, Anifah Aman sebagai tidak sah dan batal.

Post a comment

0 Comments