Cari pendekatan holistik elak isu air berulang


PIHAK berkuasa perlu melaksana pendekatan holistik bagi menangani masalah gangguan bekalan air.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataannya berkata masalah gangguan air seperti yang belaku baru-baru ini bukan sahaja menyebabkan kesukaran kepada kehidupan orang ramai, malah menyebabkan perniagaan dan industri mengalami kerugian jutaan ringgit.

Sehubungan itu tegasnya, pihak bertanggungjawab perlu segera menangani isu margin rizab air terawat rendah yang diketengahkan oleh Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia.

"Margin rizab adalah kapasiti tambahan yang boleh diagihkan selepas memenuhi permintaan semasa dan ia akan membolehkan loji rawatan memenuhi permintaan mendadak bekalan air atau kekurangan air yang tidak dijangka.

"Pakar telah mencadangkan dua cara untuk menyelesaikan margin rizab yang rendah iaitu membina loji rawatan air baharu dan mengurangkan kehilangan air bukan hasil dengan menggantikan saluran paip lama yang terdedah kepada kebocoran," katanya dalam kenyataan.

Lee turut menuntut pihak berkuasa lebih serius dalam mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencemarkan sumber air termasuk yang membuang sisa buangan secara haram ke dalam lurang seperti kejadian dilaporkan baru-baru ini

Susulan itu tegasnya ada keperluan untuk mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi menjadikannya sebagai langkah menghalang terutamanya Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Beberapa pihak mendakwa Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 gagal menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab daripada membuang sisa ke dalam loji rawatan kumbahan kerana mereka merasakan kos penghantaran sisa mereka untuk loji rawatan yang sepatutnya lebih tinggi daripada hukuman.

"Kerajaan juga harus mempercepatkan pembentangan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang akan mengenakan denda lebih tinggi dan hukuman lebih berat di samping memberi kuasa penguatkuasaan yang lebih besar untuk Jabatan Alam Sekitar," katanya di dalam kenyataan tersebut.

Post a comment

0 Comments