Fitnah DAP halang solat subuh, pejabat KM lapor polis


PEJABAT Ketua Menteri Pulau Pinang membuat satu laporan polis berhubung penularan infografik mengandungi kenyataan berbaur fitnah yang dikaitkan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow

Laporan oleh Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut tengah hari tadi.

Infografik itu mengandungi maklumat tidak benar berhubung fungsi dan had waktu operasi masjid di negeri ini yang sengaja dibuat bagi mencetustkan sensitiviti agama.

Zahar turut ditemani oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan beberapa ahli Pakatan Harapan Pulau Pinang.

"Pengguna media sosial di Malaysia dianggarkan berjumlah 18 juta sehari. Fitnah ini boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di antara kaum di negara ini jika ia disebarkan setiap hari.

"Kon Yeow tidak pernah campur tangan dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang. Beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan dalam isu agama Islam di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Rayer berharap polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan huru-hara dan mengganggu ketenteraman masyarakat majmuk di negara ini.

"Saya juga menggesa Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran segera menyiasat dan menahan mereka bagi mengelakkan perkara ini tidak berleluasa," katanya.

Terdahulu tular satu infografik memaparkan gambar Kon Yeow memakai songkok serta kenyataan 'majoriti penduduk Pulau Pinang terdiri dari bukan Islam dan kebisingan masjid di waktu pagi mengganggu orang bukan Islam sedang nyenyak tidur dan juga mengganggu ketenteraman awam.

Oleh itu kerajaan DAP mengehadkan aktiviti solat di masjid dan solat subuh tidak dibenarkan sama sekali'.

Infografik tersebut dibuat dipercayai susulan isu satu notis waktu operasi Masjid Jalan York yang dihadkan bermula jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam sahaja setiap hari tular di media sosial.

Notis yang bertarikh 24 Disember yang dikeluarkan pengerusi masjid tersebut akan berkuat kuasa pada 31 Disember ini. 

Pengerusinya, Datuk Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem berkata, masjid berkenaan menghadapi banyak masalah vandalisme seperti kecurian termasuk kamera litar tertutup (CCTV) dicuri dan pintu dipecahkan sejak beberapa bulan lalu.

Post a comment

0 Comments