Jawi: Anwar gesa semua pihak hormati keputusan k'jaan


PERSIDANGAN 'anti Jawi' anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang dijadualkan akan diadakan Sabtu ini wajar dibatalkan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gesaan itu susulan khuatir tindakan itu akan hanya akan meningkatkan suhu politik dan kaum di negara ini yang akhirnya tidak menguntungkan sesiapa.

"Penganjuran sidang anti jawi akan mengundang reaksi sidang pro jawi. Perlu diingati bahawa tulisan jawi merupakan sebahagian dari khazanah budaya bangsa dan negara.

"Bahasa Melayu yang kini bahasa kebangsaan mula ditulis dalam huruf Arab yang diubahsuai kepada tulisan jawi.

"Ikhtiar tersebut perlu dilihat sebagai antara langkah menyemarakkan kesedaran lintas budaya. Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum dan budaya dan kita harus berbangga dan menghormati kepelbagaiannya," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, Dong Zong sewajarnya kembali ke ruang dialog jika tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan itu.

Ikhtiar kerajaan tegasnya perlu dilihat sebagai antara langkah menyemarakkan kesedaran lintas budaya.

“Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum dan budaya; dan kita harus berbangga dan menghormati kepelbagaiannya.

“Keutamaan bidang pendidikan adalah ke arah peningkatan mutu pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Anwar juga menggesa “pertubuhan Melayu lainnya” tidak meneruskan agenda mereka, jika ada.

Post a comment

0 Comments