Mulai 2020, waktu Subuh di Johor dilewatkan 8 minit


MULAI Rabu ini, waktu Subuh di seluruh negeri Johor ditambah selama lapan minit.

Menurut kenyataan oleh Mufti Negeri Johor, keputusan itu dibuat berdasarkan ketetapan perubahan darjah kedudukan matahari di bawah ufuk dalam menentukan waktu terbit Fajar Siddiq.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim berkenan agar perubahan waktu solat Subuh bagi seluruh negeri ini ditambah lapan minit dari waktu solat Subuh semasa berkuatkuasa 1 Januari 2020 bersamaan 5 Jamadilawal 1441 Hijriah.

“Perubahan ini adalah berdasarkan ketetapan perubahan darjah kedudukan matahari di bawah ufuk dalam menentukan waktu terbit Fajar Siddiq daripada 20 darjah digunapakai sebelum ini kepada 18 darjah.

“Justeru dengan perubahan ketetapan ini menyebabkan waktu solat Subuh bagi seluruh negeri ini perlu ditambah lapan minit daripada waktu Subuh semasa,” kata Datuk Yahya Ahmad dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beberapa negeri antaranya Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang telah mewartakan keputusan itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 yang akhir November lalu bersetuju bahawa permulaan waktu solat subuh di negara ini adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk yang menyebabkan kepada perubahan waktu solat berkenaan.

Post a comment

0 Comments