Patriot cadang k'jaan tingkat kemudahan kesihatan polis


SUDAH sampai masanya pasukan polis disediakan hospital sendiri untuk anggotanya seperti dinikmati Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Mohamed Arshad Raji berkata, penubuhan itu perlu bagi memudahkan anggota polis mendapatkan rawatan perubatan, apatah lagi matlamat kedua-dua badan itu adalah menjamin keselamatan negara.

Beliau berkata begitu sebagai mengulas cadangan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang memohon kerajaan memberi peruntukan bagi membolehkan anggotanya menikmati kemudahan perubatan di hospital tentera.

“Kalau polis nak kongsi hospital dengan tentera ada sedikit masalah, ia melibatkan kemampuan kemudahan hospital tentera itu sendiri, kena dipertingkatkan terlebih dahulu.

“Banyak kekuranganya hospital tentera yang perlu ditambah baik dari segi kemudahan, kepakaran. Bagi saya perkhidmatan di sana masih kurang memuaskan, tingkatkan kualiti dahulu.

“Sekarang kalau pegawai atau pesara tentera nak dapatkan rawatan berjam-jam tunggu, sebab tak ada kakitangan perubatan yang cukup.

“Kalau tambah dengan anggota polis mendapat rawatan di sana, lagi lama kena tunggu untuk dapatkan rawatan,” katanya dipetik FMT.

Sementara itu tahbah Arshad,  kerajaan boleh mewujudkan hospital untuk anggota polis secara berperingkat.

“Mungkin boleh bina hospital untuk polis secara berperingkat dan jadikan sistem yang ada dalam tentera sebagai contoh untuk dilaksanakan mengikut kemampuan kerajaan,” katanya lagi.

Post a comment

0 Comments