Rasuah: Bekas Menteri dihukum penjara seumur hidup


SEORANG bekas menteri dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Vietnam setelah didapati bersalah atas dakwaan rasuah melibatkan jutaan dolar.

Nguyen Bac Son didakwa menerima rasuah berjumlah ASD3 juta bagi merancang pengambilalihan perkhidmatan televisyen digital pada 2016.

Langkah pengambilalihan itu dibuat bagi pihak syarikat milik kerajaan Mobifone ketika dia memegang jawatan Menteri Penerangan Dan Komunikasi Vietnam.

Berdasarkan pertuduhan, Son yang juga bekas pegawai tentera mengarahkan urusniaga pemilikan saham berjumlah 95 peratus milik syarikat yang ketika itu memiliki hutang, Audio Visual Global (AVG).

Selain dikenakan hukuman penjara seumur hidup, Son turut berdepan hukuman tambahan penjara 16 tahun kerana melanggar peraturan pengurusan pelaburan awam.

Seorang lagi menteri dan beberapa orang pegawai eksekutif juga menerima hukuman penjara dalam tempoh yang panjang.

Truong Minh Tuan, bekas timbalan Son yang menggantikannya sebagai menteri ketika dia bersara pula dihukum 14 tahun penjara atas tuduhan yang sama.

Tuan dituduh menerima rasuah ASD500,000 untuk menandatangani perjanjian pengambilalihan tersebut.

Le Nam Tra, bekas pengerusi Mobifone, dan Cao Duy Hai, bekas pengarah eksekutif syarikat itu, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 23 tahun dan 14 tahun, atas tuduhan rasuah dan salahlaku pengurusan.

Tra dituduh menerima rasuah ASD2.5 juta manakala Hai ASD500,000

Ketua Pegawai Eksekutif AVG Pham Nhat Vu dihukum penjara tiga tahun atas tuduhan memberi rasuah.

Sembilan yang lain, termasuk pegawai dan eksekutif, menerima antara dua dan enam tahun penjara berhubung kes sama.

Post a comment

0 Comments