Sabah ambil langkah tangani wabak polio


KERAJAAN
Negeri Sabah mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memastikan penularan virus polio yang dikesan di negeri itu tidak merebak.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, bagi memastikan usaha itu berjaya, kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Sabah akan diberikan imunisasi polio secara oral.

Jelasnya, imunisasi itu akan diberikan secara berperingkat bagi memastikan Sabah bebas daripada polio dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memperluaskan kempen imunisasi ke seluruh daerah di Sabah terutamanya di kawasan yang berisiko.

"Objektif utama kempen ini adalah untuk semua kanak-kanak di bawah lima tahun diberikan imunisasi secara oral seterusnya mencegah kejadian jangkitan penyakit polio di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Imunisasi Polio (KIP) 2019/2020 di Dewan Taman Telipok Ria.

Poon berkata kempen yang bermula pada Jumaat telah memberikan imunisasi polio kepada lebih 1,000 kanak-kanak di kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah JKNS Datuk Christina Rundi berkata jabatan itu menyasarkan menjelang Jun tahun depan setiap kanak-kanak di Sabah telah diberikan sebanyak dua dos imunisasi polio.

Beliau berkata imunisasi polio secara oral akan diberikan selang empat minggu antara dos pertama dan kedua.
 
Terdahulu, seorang bayi berumur tiga bulan disahkan menghidap penyakit polio di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuaran di Sabah. 

Ia kes asal pertama di Malaysia sejak 1986.

Post a comment

0 Comments