1MDB: Jangan cetak hingga dapat 'lampu hijau'



JABATAN Audit Negara (JAN) diarahkan tidak mencetak laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  sebelum mendapat persetujuan  bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Seorang bekas pengarah audit JAN, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, 65, memberitahu mahkamah Tinggi perkara itu ketika hadir menjadi saksi dalam kes membabitkan Najib.

Menurut Saadatul, arahan itu dimaklumkan oleh Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika beliau menyerahkan draf laporan audit itu yang telah dikemaskini kepada bekas ketua setiausaha negara itu di pejabatnya pada 29 Februari 2016.

“Seingat saya, Tan Sri Ali Hamsa memberitahu saya ‘don’t print the report until his greenlight’. Beliau menyatakan ia akan menyebabkan impak dari segi politik kepada negara.

“Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Tan Sri Ambrin Buang (bekas ketua audit negara) dan beliau ambil maklum mengenai perkara tersebut,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria.

Terdahulu, saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, beliau menyerahkan draf laporan audit akhir tersebut kepada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh di rumah beliau di Presint 10, Putrajaya pada 20 Feb2016, atas permintaannya (Shukry).

Saadatul Nafisah berkata, beliau sendiri telah ke rumah Shukry dan menyerahkan dokumen itu kepada beliau di pintu pagar rumahnya.

Tambahnya, berdasarkan prosedur pengauditan jabatan itu, sebelum pencetakan draf laporan audit akhir dilakukan, JAN akan menghantar satu salinan draf kepada audit, pemegang taruh dan kepada menteri yang bertanggungjawab untuk penyemakan terakhir serta pengesahan.

“Jika terdapat pembetulan atau hendak melakukan penambahan atau pengguguran, ianya boleh dilaksanakan dengan memberi bukti dan sokongan yang sahih. Selain itu, mengikut Standard Operating Procedure (SOP) JAN, satu salinan draf audit kepada menteri yang bertanggungjawab dan dalam hal ini ialah Menteri Kewangan iaitu Najib.

“Saya bersetuju untuk menyerahkan draf itu kepada Tan Sri Shukry atas arahan Tan Sri Ambrin kerana saya beranggapan beliau hendak membaca dan membentangkan kepada Datuk Seri Najib selaku Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya lagi.

Post a comment

0 Comments