5 penuntut UiTM dihanyut ombak laut


KEGEMBIRAAN sekumpulan 15 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, bermandi-manda bertukar tragedi apabila lima dari mereka dihanyutkan arus deras yang datang tiba-tiba.

Dalam kejadian di Pantai Pandak dekat Kuala Terengganu jam 6 petang semalam, seorang dari mereka disahkan maut, manakala seorang lagi dilapor masih hilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba ll, Mohd Salahuddin Isa berkata mayat Mohd Nor Hishamudin, ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) semasa melakukan rondaan pada 9.50 malam ini.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Sebenarnya yang betul-betul lemas lima orang. Dua daripada mereka dapat menyelamatkan diri lebih awal dan dapat naik ke semula ke darat. Seorang lagi mungkin boleh berenang dan dia mengapungkan badannya sebelum dibantu nelayan tempatan yang ada di pantai itu.

“Jadi seorang lagi masih hilang,” katanya dipetik laporan Bernama.

Mangsa yang masih tidak ditemui ialah Tengku Mohd Afiq Tengku Muhazan Shah, 20.

Mohd Salahuddin berkata seramai 17 anggota bomba termasuk enam dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bergegas ke lokasi bersama empat jentera setelah maklumat mengenai kejadian diterima.

Namun katanya berikutan angin dan ombak yang sangat kuat pada malam ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan bermula 7 pagi esok dan pihak bomba akan turut mendapatkan bantuan agensi lain untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Buat masa ini pihak bomba akan melakukan rondaan dan pemantauan setiap dua jam pada jarak dua kilometer di pesisir pantai dari jarak mangsa dikatakan lemas,” katanya.

Sementara itu Muhammad Aliff Najmie Che Norazlin, 20, berkata beliau tidak menyangka ombak besar datang dengan tiba-tiba memandangkan sebelum kejadian keadaan arus pantai dilihat tenang.

“Saya pun hampir kena tarik (ombak) juga, lepas itu mula-mula saya nampak dua orang sahaja (dibawa arus), rupa-rupanya ada seorang lagi. Lepas itu ada seorang lagi pula kena tarik dan dia dapat menyelamatkan diri. Suasana memang kelam-kabut jadi kami selamatkan diri masing-masing dahulu.

“Sejujurnya saya memang menyesal kerana kami hanya hendak berseronok berikutan peperiksaan semester hampir tamat,” katanya lagi.

Post a comment

0 Comments