AirAsia dan MAS batal penerbangan ke Manila


SYARIKAT
penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines mengumumkan pembatalan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Manila buat sementara waktu.

Pembatalan itu susulan letusan gunung berapi di Filipina yang dilapor berlaku pada Ahad.

AirAsia dalam kenyataan berkata syarikat itu menggantung dan membatalkan penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) di Manila.

“Pelanggan AirAsia yang melakukan penerbangan dalam tempoh beberapa hari akan datang, diminta memeriksa status penerbangan mereka di airasia.com/flightstatus untuk kemas kini terkini,” kata AirAsia melalui kenyataan.

AirAsia berkata ia telah memaklumkan semua penumpang yang terjejas melalui e-mel dan SMS.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) semalam menangguhkan sementara penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila.

Ia susulan abu yang menutupi landasan disebabkan letusan gunung berapi itu.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataan berkata penerbangan menuju NAIA akan digantung berikutan penutupan lanjut lapangan terbang itu.

Syarikat penerbangan itu berkata ia mengawasi dengan teliti situasi itu dan akan menyesuaikan penerbangannya apabila perlu.

“Penumpang dinasihatkan untuk memeriksa status penerbangan mereka di laman web Malaysia Airlines atau aplikasi mudah alih dan mereka juga perlu mengemas kini butiran hubungannya di bahagian Manage My Booking di laman web,” menurut kenyataan itu.

Ribuan penduduk dipindahkan dari kawasan berhampiran gunung berapi, yang terletak di tengah-tengah tasik kira-kira 70km di selatan Manila, selepas ia membebaskan debu panas sehingga 15km ke ruang udara.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina menaikkan status amaran kepada tahap 4 menunjukkan letusan berbahaya.

Post a comment

0 Comments