Ambiga beri amaran, rakyat mahu reformasi


BEKAS pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) segera melaksana reformasi dan pembaharuan utama dalam pentadbiran.

Tegasnya, rakyat tidak teragak-agak untuk "turun ke jalan" sekali lagi bagi menuntut perubahan itu sekiranya apa yang dijanjikan sebelum ini tidak dilaksanakan.

"Ada di antaranya yang telah digubal, jika perkara-perkara ini tidak dapat dilakukan (pada) bulan Jun, ini adalah kegagalan komitmen HARAPAN untuk melakukan pembaharuan.

"Kami tak pernah terfikir untuk turun ke jalan berkaitan kerajaan ini, tapi jika perlu dilakukan, ia perlu dilakukan.

"Ini bukan kerana kerajaan, ini kerana rakyat," kata Ambiga dalam forum bertajuk 'Laporan Jawatankuasa Pembaharuan  Institusi (IRC): Mengapa Rahsia?' Di Kuala Lumpur.

Ambiga memberi contoh pembaharuan utama yang dituntut namun belum dilaksanakan, ia antaranya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) dan isu hukuman mati.

"Mereka kata ia akan dikeluaran pada Mac tetapi berdasarkan 'sejarah' berlaku U-turn, kami sangat bimbang," kata Ambiga, yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa IRC.

Ambiga berkata sekiranya pembaharuan tidak berlaku, rakyat akan mempertimbangkan untuk turun ke jalan semula, walaupun dilakukan dengan berat hati.

"Tapi kita tak ada pilihan, kerana bagi saya, mereka perlu bertindak pada tahun ini, dalam banyak perkara-perkara ini.

"Saya tidak mengatakan mereka tak ada lakukan perkara yang baik, mereka telah lakukan banyak perkara yang baik.

"Tetapi kebimbangan saya ialah kehabisan waktu dan jika mereka tidak mengotakan sebahagian daripada janji-janji utama, jadi bagi saya, hanya sikit masa yang tinggal, kerana tahun depan semua orang akan menumpukan perhatian kepada pilihan raya akan datang," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments