AMK gesa HARAPAN tunai janji peralihan kuasa


SEKRETARIAT
Pakatan Harapan (HARAPAN) sekali lagi menggesa agar tarikh peralihan kuasa jawatan perdana menteri dimuktamadkan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Akmal Nasir berkata, langkah itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya pada Mei ini.

Ia tegasnya bagi memastikan kestabilan gabungan itu untuk terus memimpin negara dengan baik.

"Saya percaya penetapan tarikh peralihan kuasa akan mencerminkan kesepakatan yang utuh dalam Pakatan Harapan dan seterusnya mematahkan persepsi pergolakan dalam HARAPAN yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang.

"Maka saya sarankan Sekretariat HARAPAN agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan.

Akmal sebelumnya mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Sekretariat HARAPAN, Saifuddin Abdullah bahawa gabungan itu perlu menumpukan isu mengenai manifesto pilihan raya terlebih dahulu.

Sementara itu, walaupun menyambut baik saranan itu, Akmal mengingatkan bahawa tindakan tidak memuktamatkan tarikh peralihan kuasa itu hanya membuka ruang serangan dari pembangkang.

Terdahulu, Ahli  Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad turut membuat kenyataan menggesa kepemimpinan HARAPAN menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar pada Mei tahun ini.

Tegasnya,  rakyat yang mahukan jawapan jelas berhubung isu tersebut sebagaimana pernah diumumkan pada 6 Jan 2018.

Post a comment

0 Comments